Tuesday, April 26, 2016

Masa Lalu


Setelah sekian lama berhabuknya blog ini aku mengambil sedikit masa untuk menjengah sisipan luahan hati yang lama aku tinggalkan. Walaupun kekeringan idea untuk meluahkan apa yang tak terluah, namun aku gagahkan juga menaip sambil berharap idea akan datang seiring dengan lancarnya jari bergerak gerak..Ia bukanlah semudah yang disangka. Meluahkan apa yang dipendam disaat jiwa sarat dengan hasrat untuk melepaskan apa yang dikendong oleh hati. Ianya memenatkan sepertimana satu beban rasa hati yang tak tertanggung.

Sepertimana kata Imam Ghozali bahawasanya benda yang paling jauh dengan diri kita adalah masa lalu. Dan disitu juga aku merenung kembali kehidupan yang telah dilalui dan mengenang kembali saat-saat yang telah pergi. Apa yang aku boleh tafsirkandengan masa lalu adalah satu keindahan yang tidak dapat aku jelaskan dengan perkataan. Dan jujurnya jauh dilubuk hati apabila mengenang masa lalu akan datang satu perasaan. Perasaan yang wujud dalam diri manusia. Rindu. Ya, rasa inilah yang menyeliputi sanubari aku ketika ini.

Apakah yang paling aku rindui dengan masa lalu?..Yang paling aku rindui setiap detik dan setiap waktu sehinggakan tidak ada sehari pun yang berlalu tanpa ada perasaan rindu yang menggunung. Aku benar-benar, sangat sangat merindukan arwah ayah dan mak. Ya Allah, apabila aku mengenang kembali, hati ini bagai ditikam dengan pisau tajam. Aku seorang anak yang berdosa. Tidak berkemampuan untuk menjaga mereka sepertimana mereka menjaga aku. Hati aku bagai dirobek mengingatkan jasa-jasa mereka yang tidak aku balas. Dan aku tahu bagaimana gigihnya mereka memberikan apa yang terbaik untuk aku walaupun mereka sendiri terpaksa mengorbankan hak-hak yang sepatutnya menjadi milik mereka.Aku menyedarinya kerana aku juga ada seorang anak. Dan aku tahu yang paling penting bagi mak dan ayah adalah kegembiraan seorang anak. Mak ayah akan berasa gembira melihat anaknya tidur dengan tenang. Aku sedih kerana mak dan ayah tidak lagi bersama aku ketika ini untuk melihat apa yang aku ada sekarang. Tentunya yang paling menggembirakan aku adalah mak dan ayah ada disisi ketika aku susah dan senang. Aku tetap akan mendoakan mak ayah dalam sembahyangku...InsyaAllah...

Aku juga merindukan zaman persekolahan ketika zaman kemuncak terutamanya waktu tingkatan 4 dan lima. PAda waktu itu, keseronokan hidup seolah-olah ditahap yang berbeza sama sekali. Tiada masalah, tiada tekanan, tiada rungutan. Yang ada hanyalah kegembiraan,  awek-awek dan kawan-kawan. Tiada duit tak mengapa asalkan mempunyai kawan sentiasa. Hidup yang ceria dari pagi petang siang ke malam. Punyalah gembira pada waktu itu sehinggakan terlupa kehidupan yang bakal diharungi. Ahh, pedulikan semua itu kerana zaman remaja hanya sekali. Aku agak ketinggalan dalam pelajaran namun aku tak pernah menyesal. Tak pernah terdetik secara seriusnya aku menyesal kerana tidak belajar dengan bersungguh-sungguh. Tempoh ini adalah waktu yang sangat menceriakan.Mana taknya, aku dikelilingi ramai kawan yang baik.Yang membantu ketika susah dan senang sehinggakan persahabatan kami terjalin sehingga kehari ini.Cumanya, ada sedikit rasa terkilan. Aku sendiri tak tahu kenapa. Kawan baik aku ketika sekolah rendah yang sama-sama membesar kini terasa semakin jauh. Aku tak tahu apa puncanya. Mungkin dia ada alasan yang tersendiri..Tak mengapalah...

Aku juga merindukan zaman bujang.Masa aku mula-mula berkerja dan tinggal berasingan dengan mak ayah. Aku mempunyai haluan hidup sendiri. Dan masanya untuk aku berdikari. Syukur juga kerana aku bukanlah jauh sangat dengan kampung. Hidup dirumah bujang adalah sesuatu yang baru bagi aku. Selain tidak mengharapkan famili, aku semakin mengenal erti kehidupan. Walaupun mempunyai kehidupan yang bebas dan tanpa kekangan, aku bukanlah jenis yang suka mengambil kesempatan dengan berjoli sakan ataupun membuat benda yang tidak berfaedah. Aku bernasib baik kerana dapat teman serumah yang baik-baik. Semuanya kaki lepak kt rumah. Aku bersyukur kerana dianugerahkan Allah teman yang baik-baik.

Sebenarnya banyak lagi yang aku rindukan. Masa kanak-kanak aku, masa bercinta dan juga masa belajar di USM. Namun semuanya semakin jauh aku tinggalkan. Dan yang pastinya, ia tak akan berulang lagi dan akan tetap terus pergi tanpa sedikit pun menunggu aku. Semakin hari semakin pantas ia berlalu dan apa yang tinggal hanya lah masa lalu dan kenangan yang yang tersemat dihati. Pengalaman hidup mendewasakan kita dan kadang2 mengajar kita apa erti kuat. Dikala susah, kita mengharunginya kerana kita tak tak tahu kita kuat melainkan menjadi kuat itu adalah pilihan terakhir kita. Dan yang nyatanya, masa lalu adalah satu keindahan pada masa depan. Andai kita  merenung masa lalu janganlah kita lupa untuk melihat masa depan kerana kedua-duanya adalah sama.